SOALAN LAZIM



  • A.     Format Baharu Kepala Surat  

    1.    Berapakah format kepala surat yang agensi boleh ada?

    Format baharu kepala surat Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan meliputi dua (2) jenis kepala surat iaitu Kepala Surat Umum Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan dan Kepala Surat Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan. Bagi Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan yang berurusan dengan agensi-agensi di luar negara, Kementerian/Jabatan/ Agensi Persekutuan berkenaan dibenarkan menggunakan kepala surat dwibahasa.  



    2.    Adakah format penghantaran melalui e-mel juga juga tertakluk kepada Surat Pekeliling Am ini?  

    Format kepala surat yang dinyatakan dalam Panduan ini hanya terpakai bagi surat rasmi Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan yang dihantar melalui pos, penghantaran tangan atau faksimili. Penggunaan saluran komunikasi rasmi Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan yang dihantar melalui mel elektronik atau e-mel adalah tertakluk kepada Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003: "Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet Dan Mel Elektronik Di Agensi-Agensi Kerajaan" bertarikh 28 November 2003.



    3. Adakah agensi perlu menggantikan kepala surat sedia ada dengan format kepala surat baharu secara serta-merta?

    Surat Pekeliling Am ini adalah berkuatkuasa mulai 13 Februari 2013. Akan tetapi, bagi mengelakkan pembaziran, penggunaan format dan reka bentuk kepala surat yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Am ini boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat iaitu apabila Kementerian/ Jabatan/Agensi Persekutuan telah menghabiskan simpanan kepala surat sedia ada.

    4.    Adakah Surat Pekeliling Am ini terpakai kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Badan Berkanun?

    Surat Pekeliling Am ini dipanjangkan kepada PBT, PSUK Negeri dan Badan Berkanun untuk rujukan mereka dan tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing. Pemakaian Lambang Kerajaan Persekutuan hendaklah mematuhi Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2005 bertarikh 7 April 2005. (Lambang Kerajaan Persekutuan hanya boleh diguna pakai oleh Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan sahaja).  



    5.    Adakah pengecualian pemakaian Surat Pekeliling Am ini diberikan kepada mana-mana agensi?

    Pengecualian pemakaian Surat Pekeliling Am ini boleh diberikan kepada Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan tertentu yang mana perkhidmatan terasnya berkaitan dengan hal ehwal keselamatan dan pertahanan negara. Kelonggaran diberikan untuk tidak membekalkan maklumat seperti yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Am ini (Contoh: alamat penuh, no. telefon, dan lain-lain maklumat komunikasi).



    6.    Siapa yang boleh menggunakan Lambang Kerajaan Persekutuan?

    Penggunaan Lambang Kerajaan Persekutuan adalah tertakluk kepada Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2005: Pemakaian Lambang Kerajaan Persekutuan. Penggunaannya adalah dihadkan kepada Kementerian, Jabatan dan Pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan. Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan atau Pertubuhan-pertubuhan Kebangsaan tidak boleh menggunakan Lambang Kerajaan Persekutuan. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai penggunaan Lambang Kerajaan Persekutuan, boleh hubungi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri.



    7.    Berapakah jenis logo yang boleh dipaparkan oleh agensi dalam kepala surat?

    Format baharu kepala surat Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan hanya membenarkan agensi memaparkan dua (2) jenis logo dalam kepala surat iaitu Lambang Kerajaan Persekutuan dan logo Kementerian/Jabatan/Agensi. Jabatan/Agensi Persekutuan di bawah Kementerian boleh mengguna pakai:   
         
    i.    Lambang Kerajaan Persekutuan dan logo Kementerian; atau
    ii.   Lambang Kerajaan Persekutuan dan logo Jabatan/Agensi Persekutuan.

    Manakala bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Badan Berkanun yang mengguna pakai Surat Pekeliling Am ini sebagai garis panduan dalam mereka bentuk dan menyediakan kepala surat agensi, agensi-agensi ini hanya boleh meletakkan logo agensi dalam kepala surat. (Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun atau Pertubuhan Kebangsaan tidak boleh menggunakan Lambang Kerajaan Persekutuan kecuali setelah mendapat kebenaran dari Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri).


    >> Contoh Format Baharu Kepala Surat Mengikut Kategori

    8.    Adakah talian umum  wajib mengguna pakai nombor Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) 03-8000 8000?  

    Selaras dengan pelaksanaan 1MOCC, agensi-agensi perlu mengubah suai nombor telefon kepada 03-8000 8000 apabila 1MOCC dilaksanakan sepenuhnya. Kelonggaran diberikan bagi Kepala Surat Ketua Jabatan dan tertakluk kepada penerimaannya oleh Kementerian/Jabatan/Agensi Persekutuan sama ada menggunakan 03-8000 8000 atau talian terus Ketua Jabatan.


    9.    Adakah agensi boleh meletakkan logo 1Malaysia, moto agensi, kempen-kempen semasa dan anugerah serta pengiktirafan dalam kepala surat?

    Agensi-agensi Kerajaan dibenarkan untuk  meletakkan logo 1Malaysia, moto agensi, kempen-kempen semasa dan anugerah serta pengiktirafan yang diterima dalam kepala surat agensi masing-masing. Kedudukan logo 1Malaysia, moto agensi, kempen-kempen semasa dan anugerah serta pengiktirafan adalah di dalam ruangan tidak melebihi 30mm di bahagian bawah surat.    





  • A.      PELAKSANAAN 1GOV*NET  

    1.       Agensi manakah yang akan menggunakan perkhidmatan rangkaian 1Gov*Net?  

    Perkhidmatan ini dicadangkan untuk dilaksanakan secara berperingkat seperti berikut:

    •   Fasa 1 : Rangkaian EG*Net dan rangkaian PCN membentuk rangkaian 1Gov*Net;
    •   Fasa 2 : Migrasi rangkaian-rangkaian  agensi yang menggunapakai perkhidmatan GITN yang akan tamat kontrak pada tahun 2011  dan 2012;
    •   Fasa 3 :  Migrasi rangkaian agensi-agensi yang menggunakan perkhidmatan ISP lain ke dalam 1Gov*Net.


    2.       Apakah skop pelaksanaan 1Gov*Net

    Pelaksanaan 1Gov*Net  hanya melibatkan penyediaan rangkaian kawasan luas (WAN) sahaja.  Rangkaian setempat (LAN) dan capaian pengguna wireless agensi adalah tidak termasuk dalam skop pelaksanaan 1Gov*Net.
     

    B.       PERMOHONAN PEROLEHAN RANGKAIAN,  BAJET DAN KONTRAK  
     

    3.       Adakah agensi masih perlu mengemukakan permohonan perolehan rangkaian kepada JTICT  setelah  menggunapakai          perkhidmatan 1Gov*Net?

    Perolehan perkakasan dan perisian untuk rangkaian setempat (LAN) adalah masih mengikut  tatacara perolehan ICT yang telah ditetapkan.  Manakala,  agensi yang  merancang untuk perluasan WAN hendaklah mengemukakan permohonan kepada  MAMPU.


    4.       Adakah agensi  masih perlu memohon bajet penyelenggaraan rangkaian setelah menggunapakai perkhidmatan 1Gov*Net? 

    Ya.  Agensi yang telah menggunapakai 1Gov*Net masih  perlu memohon bajet penyelenggaraan perkakasan dan perisian bagi rangkaian setempat (LAN).   Manakala bajet rangkaian kawasan luas (WAN) akan menggunakan peruntukkan 1Gov*Net. 


    5.       Adakah agensi yang telah merancang untuk menaiktaraf/ memasang rangkaian di premis perlu menangguhkan perolehan  tersebut?

    -Sekiranya perancangan melibatkan rangkaian setempat (LAN), agensi hendaklah meneruskan perolehan ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
    -Sekiranya perancangan melibatkan rangkaian kawasan luas (WAN), perkara ini hendaklah dimaklumkan kepada MAMPU.  



    6.      Adakah agensi perlu tamatkan kontrak yang masih berkuatkuasa?

    Tidak, agensi dipohon meneruskan kontrak perkhidmatan rangkaian dengan pembekal sedia ada mengikut tempoh kontrak yang telah dipersetujui.

    Walau bagaimanapun, agensi perlu memaklumkan kepada MAMPU enam (6) bulan sebelum tarikh tamat kontrak bagi membincangkan perancangan migrasi rangkaian WAN agensi ke 1Gov*Net.  


    7.       Sekiranya agensi berminat untuk menggunapakai perkhidmatan 1Gov*Net sebelum tarikh tamat kontrak perkhidmatan rangkaian WAN, adakah agensi perlu menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut? 

    Ya,  agensi hendaklah menamatkan kontrak perkhidmatan WAN sedia ada tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak mengikut terma kontrak yang telah dipersetujui.  


    C.      TEKNIKAL    

    8.       Adakah MAMPU telah menjalankan kajian mengenai Network capacity planning?

    Kajian ICT Sektor Awam yang diadakan pada 2010 telah dapat mengenalpasti senario semasa rangkaian ICT Sektor Awam.  Perancangan mengenai keperluan kapasiti rangkaian agensi akan diperincikan oleh MAMPU bersama agensi.
     

    9.       Adakah 1Gov*Net akan menyediakan content filtering?

    Pada peringkat awal  1Gov*Net hanya menyediakan content filtering di Gateway PCN sahaja.  
     

    10.     Berapakah kelajuan yang dicadangkan untuk pelaksanaan 1Gov*Net?

    Setiap lokasi akan dibekalkan rangkaian dengan kapasiti  bandwidth sekurang-kurangnya  2Mbps.               
     

    11.     Adakah rangkaian 1Gov*Net dilaksanakan di agensi sehingga ke peringkat last mile?

    Rangkaian 1Gov*Net di sediakan hingga ke peringkat  router rangkaian kawasan luas (WAN) agensi sahaja. Capaian pengguna ke access switch dalam rangkaian setempat (LAN) adalah di bawah tanggungjawab agensi.
     

    12.     Adakah 1Gov*Net akan membangunkan infrastruktur rangkaian baru atau menggunapakai infrastruktrur rangkaian sedia ada?

    1Gov*Net akan menggunakan infrastruktur sedia ada.  Bagi agensi yang tidak mempunyai rangkaian, infrastruktur WAN akan disediakan.
     

    13.   Adakah agensi masih bertanggungjawab ke atas server-server agensi yang ditempatkan di Myloca atau mana-mana lokasi server hosting lain apabila agensi menggunapakai 1Gov*Net?

    Untuk tempoh 2011 hingga 2012,  pelaksanaan 1Gov*Net akan memberikan fokus kepada penyediaan perkhidmatan rangkaian sahaja.  Penempatan server agensi di Myloca adalah masih di bawah tanggungjawab agensi.
     

    D.       PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB   

    14.     Apakah peranan agensi dan peranan MAMPU dalam pelaksanaan 1Gov*Net ? 

    Rangkaian dalaman (local area network) dan sistem keselamatan rangkaian (contoh: firewall, IPS, viruswall) di agensi akan diuruskan oleh agensi

    Infrastruktur, perkhidmatan dan pemantauan yang berkaitan dengan rangkaian 1Gov*Net akan diurus oleh MAMPU



  • 1. Apakah tujuan ISP Agensi?

    Tujuan ISP agensi adalah seperti berikut: Menentukan halatuju perancangan dan strategi pembangunan dan pelaksanaan projek-projek ICT untuk menyokong bisnes teras agensi sektor awam; Mengelakkan projek ICT dilaksanakan secara ad-hoc tanpa perancangan yang teliti; Memastikan pembangunan ICT di agensi selari dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam secara khusus dan agenda pembangunan Negara secara amnya.

    2. Adakah ISP akan memberi faedah kepada agensi?

    Ya. Dengan adanya ISP, agensi dapat merancang projek-projek ICT bagi menyokong objektif sesuatu agensi. Di dalam proses penyediaan ISP, penilaian persekitaran bisnes dan ICT agensi akan dibuat. Perancangan juga dibuat berdasarkan input dari pengguna.

    3. Berapa lamakah jangkamasa perancangan yang kebiasaannya diliputi oleh ISP agensi?

    ISP agensi disyorkan meliputi perancangan ICT bagi 3-5 tahun. ISP agensi adalah dokumen yang perlu dikemaskini mengikut perancangan semasa dan perlu disediakan secara berterusan. Adalah dicadangkan agensi agar menjalankan review ke atas ISP mereka secara tahunan atau pun apabila terdapat perubahan kepada strategi bisnes agensi.

    4. Perlukah agensi memohon kelulusan dari Jawatankuasa Teknikal IT (JTIT) di MAMPU bagi projek-projek ICT yang dinyatakan di dalam ISP Agensi?

    Ya. Agensi-agensi perlu mengemukakan permohonan perolehan ICT mereka kepada JTIT di MAMPU untuk kelulusan walaupun telah dinyatakan di dalam ISP. JTIT akan merujuk kepada ISP agensi untuk memastikan projek-projek berkaitan termasuk di dalam perancangan agensi.

    5. Bagaimanakah ISP disediakan bagi sebuah Kementerian yang mempunyai beberapa agensi di bawahnya? Adakah mencukupi satu ISP yang bersepadu disediakan bagi Kementerian dan semua agensinya, atau setiap agensi menyediakan ISP yang berasingan?

    Penyediaan ISP bagi Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya digalakkan dijalankan secara bersepadu untuk memastikan ia selari. Berdasarkan norma bisnes Kementerian yang lebih kepada polisi dan dasar manakala norma bisnes agensi yang lebih bersifat pengoperasian, Kementerian dan agensi perlu mempunyai ISP yang berasingan. Walau bagaimanapun agensi perlu memastikan ISPnya selari dengan ISP Kementerian dan mempunyai hubung kait.

    6. Bolehkah agensi membangunkan ISP secara dalaman atau perlu menggunakan khidmat perunding?

    Ya. Agensi boleh membangunkan ISP mereka sendiri secara dalaman atau pun menggunakan khidmat perunding. Agensi perlu merujuk kepada Surat Pekeliling Perbendaharan Bil 3 Tahun 1995 untuk mematuhi prosedur mendapatkan khidmat perunding bagi membangunkan ISP.

    7. Berapakah anggaran kos penyediaan sesuatu ISP?

    Kos penyediaan ISP adalah bergantung pada skop yang dirangkumi oleh kajian tersebut.

    8. Apakah fungsi Jawatankuasa Teknikal IT (JTIT)?

    Fungsi utama jawatankuasa ini ialah untuk meneliti dan memberikan pandangan teknikal ke atas projek-projek ICT yang dicadangkan oleh agensi-agensi bertujuan untuk memperoleh sistem, perkakasan dan perisian ICT .

    9. Apakah fungsi Jawatankuasa Teknikal IT (JTIT)?

    Keahlian JTIT
    Pengerusi:
    Ketua Pengarah MAMPU
    Ahli Tetap:
    1. Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan ICT, MAMPU
    2. Pengarah Bahagian Pembangunan Kerajaan Elektronik, MAMPU
    3. Pengarah Bahagian Keselamatan ICT, MAMPU
    4. Wakil Unit Perancang Ekonomi
    5. Wakil Jabatan Perkhidmatan Awam
    6. Wakil Jabatan Audit Negara
    7. Wakil Kementerian Kewangan
    8. 3 orang pakar ICT dari sektor awam.

    Urus Setia: Bahagian Dasar dan Perancangan ICT, MAMPU

    10. Bagaimana cara mengemukakan permohonan?

    Kertas permohonan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu untuk kelulusan Jawatankuasa Pemandu ICT di peringkat Kementerian. Permohonan yang diluluskan hendaklah dikemukakan kepada Urus setia JTIT di MAMPU.
    Permohonan yang bernilai kurang daripada RM2.5 juta akan dipertimbangkan oleh Urus setia JTIT. Permohonan yang akan dibawa untuk pertimbangan JTIT (RM2.5juta atau lebih) hendaklah dikemukakan kepada urus setia selewat-lewatnya 3 minggu sebelum dari tarikh mesyuarat JTIT yang ditetapkan.
    Format kertas permohonan hendaklah berpandukan kepada Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2000:Peranan Jawatankuasa-Jawatankuasa di bawah Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK)- Lampiran D .

    11. Apakah alamat Urus setia JTIT?

    Kertas permohonan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan kepada:
    Urus setia JTIT
    Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU),
    Jabatan Perdana Menteri,
    Aras 5, Blok B1,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62502 PUTRAJAYA
    (u.p: Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan ICT)

    12. Apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum kertas cadangan projek ICT dikemukakan?

    Agensi perlu memastikan cadangan projek ICT dibuat secara terancang dan telah mendapat kelulusan daripada jawatankuasa berkaitan Agensi masing-masing. Peruntukan yang mencukupi bagi pelaksanaan projek juga hendaklah disediakan.

    13. Bagaimana aplikasi Perkongsian Pintar ini boleh menjimatkan kos pembangunan sistem di agensi saya?

    Perkongsian Pintar membolehkan agensi-agensi berkongsi aplikasi sistem yang memenuhi spesifikasi keperluan agensi masing-masing secara percuma. Bayaran hanya akan dikenakan untuk perkhidmatan vendor sahaja sekiranya sistem dibangunkan oleh vendor.

    14. Apa arah tuju Kerajaan mengenai penggunaan Open Source?

    MAMPU akan menyediakan satu pelan pelaksanaan Linux/OSS di sektor awam. Pelan tersebut akan menggariskan arah tuju strategik dan rangka kerja bagi pelaksanaan secara berperingkat supaya objektif kerajaan melaksanakan Linux/OSS tercapai.Dalam penyediaan pelan tersebut, thrust areas, projek pilot, keperluan sokongan teknikal dan tindakan yang harus diambil bagi melaksanakan Linux/OSS di sektor awam juga akan dikenalpasti.

    15. Adakah sesuatu dasar telah digubal mengenai penggunaan Open Source?

    Kerajaan telah bersetuju dengan penggunaan Open Source dalam sektor awam dan MAMPU sedang berusaha melaksanakan keputusan tersebut. Diantara langkah-langkah yang akan diambil oleh MAMPU ialah penentuan dasar dan piawaian yang berpatutan dan seterusnya mengedarkan pekeliling dan garispanduan berkaitan pelaksanaan Linux/OSS kepada agensi sektor awam.

    16. Adakah semua agensi sektor awam dikehendaki menggunakan Open Source?

    Agensi Kerajaan digalakkan mempertimbangkan penggunaan Open Source di mana ia boleh menyumbangkan kepada pencapaian objektif kerajaan melaksanakan Linux/OSS. Rancangan dan tindakan berkaitan yang diambil oleh agensi harus mengikut prinsip-prinsip asas dalam pelaksanaan Linux/OSS.

    17. Apa tanggungjawab seorang CIO?

    CIO adalah bertanggungjawab untuk visi, arahtuju, dasar, garis panduan, perancangan dan penyelarasan bidang ICT di agensi masing-masing.CIO bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha atau Ketua Jabatan/Agensi dan menganggotai jawatankuasa utama agensi yang menggubal dasar.CIO juga dikehendaki meninjau dan meluluskan pelan dan peruntukan ICT agensi. Bagi agensi yang kecil, CIO juga akan mengetuai Bahagian yang menyediakan perkhidmatan ICT agensi ? pembangunan sistem, operasi dan bantuan teknikal.

    18. Apakah fungsi CCC kepada masyarakat amnya?

    Sebagai pusat kawal selia bandaraya yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri teknologi maklumat dan komunikasi ICT di Malaysia serta mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan iaitu dengan berinteraksi secara berangkaian dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam semua aspek aktiviti harian.

    19. Siapakah yang bertanggungjawab mengendalikan operasi CCC?

    Majlis Daerah Sepang (MDS)
  • 1. Apakah fokus kajian MAMPU?

    Fokus kajian MAMPU ialah pengurusan organisasi dan pengurusan kewangan. Ia meliputi aspek strategi, struktur, sistem kerja, usaha meningkatkan kompetensi kakitangan, kepemimpinan, serta ICT dan peralatan automasi pejabat.
    Kajian MAMPU tidak menyentuh tentang aspek perjawatan yang memperakukan pertambahan kakitangan.

    2. Apakah bentuk kajian yang dijalankan oleh MAMPU?

    Kajian MAMPU terdiri daripada:
    - Kajian pembangunan organisasi (organizational development atau OD); dan
    - Kajian tentang sistem dan prosedur kerja.

    Walau bagaimanapun MAMPU bersedia menjalankan kajian-kajian lain yang diarahkan oleh Kabinet atau Y Bhg Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa.

    3. Bagaimanakah agensi-agensi Kerajaan boleh mendapatkan khidmat MAMPU untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi mereka?

    - Menulis kepada Ketua Pengarah MAMPU dengan:
    - menerangkan tentang latar belakang masalah yang dihadapi dan kesannya terhadap perkhidmatan awam atau negara; dan
    - mencadangkan terma rujukan serta skop kajian.

    Atau
    - Membangkitkan masalah mereka semasa lawatan YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, atau Y Bhg Ketua Setiausaha Negara.

    Atau
    - Meminta YB Menteri membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan organisasi dalam Mesyuarat Kabinet.

    4. Apakah kriteria yang digunakan oleh MAMPU untuk bersetuju dengan permohonan agensi bagi menjalankan kajian?

    Biasanya MAMPU akan mendapatkan persetujuan Panel Memajukan Pentadbiran Awam (PANEL) atau Y Bhg Ketua Setiausaha Negara sebelum memulakan sesuatu kajian

    5. Siapakah yang meluluskan perakuan kajian MAMPU?

    Semua perakuan dalam kajian MAMPU harus mendapat kelulusan Panel Memajukan Pentadbiran Awam (PANEL) atau Y Bhg Ketua Setiausaha Negara sebelum disampaikan kepada agensi yang berkaitan.

    6. Berapakah lama masa yang diperlukan oleh MAMPU untuk menjalankan kajian?

    6 ? 9 bulan atau satu tempoh yang dipersetujui bersama antara MAMPU dengan Agensi Pemohon.

    7. Bolehkah agensi mendapatkan bantuan pihak perunding swasta untuk menjalankan kajian tentang organisasi mereka?

    Boleh dengan syarat:
    - mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemilihan dan Pelantikan Perunding (JPPP) yang diurusetiakan oleh MAMPU atau atas arahan Kabinet; dan
    - mempunyai peruntukan yang mencukupi.
  •  
  •  


  • 1. Apakah tujuan lawatan inspektorat dilakukan?

    Lawatan inspektorat dilakukan adalah bersifat developmental untuk cuba memperbaiki keadaan yang sedia ada bersama agensi yang dilawati melalui tindakan seperti memeriksa, mengesan dan membantu jabatan-jabatan Kerajaan dalam pelaksanaan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) dan bukan untuk mencari kesalahan. MAMPU memberi perhatian kepada peranan mengenal pasti kelemahan dan masalah pelaksanaan usaha-usaha kemajuan pentadbiran dan seterusnya membantu agensi mengatasinya;

    2. Apakah kriteria yang digunakan oleh MAMPU untuk membuat lawatan inspektorat ke agensi-agensi Kerajaan?

       - Lawatan inspektorat MAMPU adalah berdasarkan kepada bilangan aduan awam yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam;
       - Isu-isu yang dibangkitkan oleh YAB Perdana Menteri, Kabinet dan PANEL Memajukan Pentadbiran Awam; dan
       - Bilangan aduan yang diterima oleh media massa seperti surat khabar dan sebagainya.

    3. Apakah bidang yang diberi tumpuan dalam lawatan inspektorat tersebut?

    Biasanya lawatan inspektorat MAMPU memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut:
    i. Tahap perkhidmatan Kaunter;
    ii. Usaha-usaha pengemaskinian Borang Permohonan;
    iii. Usaha-usaha memperkemaskan lesen dan permit;
    iv. Usaha-usaha memperkemaskan Sistem dan Prosedur;
    v. Tahap perlaksanaan Piagam Pelanggan;
    vi. Kualiti Layanan Perkhidmatan Telefon;
    vii. Pengurusan Aduan Awam;
    viii. Hari Bertemu Pelanggan;
    ix. Usaha-usaha memungut hasil (bagi agensi yang memungut hasil); dan
    x. Tahap pelaksanaan Sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

    4. Siapakah yang meluluskan lawatan pasukan inspektorat?

       - Semua perakuan-perakuan dalam lawatan inspektorat perlu mendapatkan kelulusan PANEL Memajukan Pentadbiran Awam; dan
         - Pemantauan ke atas perakuan-perakuan dibuat secara berkala.

    5. Berapa lama masa yang diperlukan untuk lawatan inspektorat?

    Lebih kurang dua bulan.


  • 1. Apakah objektif penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK)?

    Mewujudkan pentadbiran Kerajaan dan Perkhidmatan Awam yang cekap, berdisiplin serta mempunyai integriti yang paling tinggi dengan mempertingkatkan amalan-amalan nilai-nilai murni di samping berusaha mengatasi masalah-masalah dan kelemahan terutamanya dalam pengurusan kewangan Kerajaan, pentadbiran awam, pengendalian kes-kes tatatertib, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang ditegah oleh peraturan, perundangan serta agama.

    2. Apakah tujuan penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP)?

    Berikutan dengan Arahan Y.A.B. Perdana Menteri No. 1 Tahun 1998 mengenai Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Di Peringkat Persekutuan Negeri dan Daerah, Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) telah ditubuhkan supaya agensi-agensi Kerajaan Malaysia dapat mempertingkatkan secara dalaman, menyeluruh, sistematik dan berkesan dalam usaha-usaha pembanterasan rasuah dan penyelewengan di kalangan pegawai badan awam.

    3. Apakah tujuan penubuhan Pasukan Khas Perunding Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (PKP JKP)?

    Membantu JKKMKPK di dalam membuat penghuraian, penganalisisan dan mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian terhadap isu-isu dan masalah-masalah yang dibangkitkan dalam Laporan Maklum balas JKP di peringkat persekutuan dan negeri.

    4. Bagaimana hendak mempertingkatkan kecekapan dan keutuhan jentera kerajaan dengan memberi perhatian kepada keberkesanan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP)?

    Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) telah ditubuhkan di semua peringkat pentadbiran pusat, negeri dan daerah (Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 1998 yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Januari 1998). JKKMKPK di peringkat tertinggi dan JKP di semua peringkat pentadbiran kementerian, jabatan, Kerajaan Negeri dan daerah adalah merupakan struktur bersepadu di bawah Gerakan Pemantapan Keutuhan. Menerusi strategi bertindak di bawah sistem pelaporan dan pemantauan setiap tiga bulan yang kemas, sistematik dan berterusan di antara peringkat tertinggi dengan semua peringkat di bawahnya, Kerajaan dapat memastikan kecekapan dan keutuhan jentera kerajaan dan seterusnya memastikan mutu Perkhidmatan Awam terus unggul.

    5. Dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian (delivery system) Kerajaan, di manakah kedudukan sistem nilai dalam proses membuat keputusan?

    Kerajaan sentiasa mengutamakan sistem nilai dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian Kerajaan. Dalam memantapkan mekanisme pelaksanaan program-program nilai, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program penerapan nilai-nilai murni.
    Di antaranya ialah memastikan semua Jabatan Kerajaan mempunyai Kod Etika Jabatan yang menetapkan nilai teras dan nilai kembangan sebagai panduan asas anggota organisasi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Kerajaan juga telah memperkenalkan program penerapan akhlak dan nilai murni menerusi modul latihan Pengurusan Integriti untuk semua peringkat perkhidmatan dan memasukkan elemen nilai murni dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi.
    Pengurusan Kualiti

    1. Bagaimanakah agensi Kerajaan boleh mendapatkan khidmat Perundingan bagi melaksanakan MS ISO 9000:2000?

    Agensi boleh melantik Syarikat Perunding swasta yang berdaftar dengan MAMPU untuk membantu dalam pelaksanaan standard ini. Kos pelantikan akan dibiayai oleh agensi sendiri. Agensi perlu mendapat kelulusan MAMPU sebelum pelantikan dibuat.
    Senarai Syarikat Perunding Swasta yang berdaftar di MAMPU boleh diperolehi melalui laman web MAMPU di http://www.mampu.gov.my.

    2. Apakah tindakan agensi seterusnya selepas dokumentasi MS ISO 9000 telah siap untuk diaudit?

    Agensi boleh memohon untuk pengauditan bagi tujuan Persijilan dengan Badan Persijilan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan diakreditasikan oleh Jabatan Standard Malaysia. Kos pengauditan akan dibiayai oleh agensi sendiri.
    Senarai Badan Persijilan boleh diperolehi melalui laman web MAMPU di http://www.mampu.gov.my.
    Agensi yang telah mendapat Sijil MS ISO 9000:2000 hendaklah memaklumkan kepada MAMPU dengan menghantar satu salinan Sijil berkenaan kepada pihak MAMPU

    3. Bolehkah agensi Kerajaan yang telah mempunyai Sijil MS ISO 9000:1994 melaksanakan peralihan ke standard versi 2000 tanpa menggunakan khidmat Syarikat Perunding Swasta?

    Agensi Kerajaan yang telah mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan MS ISO 9000:1994 boleh beralih ke standard baru versi 2000 sekiranya pengurusan atasan dan pasukan pelaksana mempunyai komitmen yang tinggi untuk melaksanakannya. Pihak MAMPU boleh dihubungi untuk mendapatkan latihan pendedahan dan cara pelaksanaannya.

     




  • 1. Bagaimanakah agensi Kerajaan boleh mendapatkan khidmat Perundingan bagi melaksanakan MS ISO 9000:2000?

    Agensi boleh melantik Syarikat Perunding swasta yang berdaftar dengan MAMPU untuk membantu dalam pelaksanaan standard ini. Kos pelantikan akan dibiayai oleh agensi sendiri. Agensi perlu mendapat kelulusan MAMPU sebelum pelantikan dibuat.
    Senarai Syarikat Perunding Swasta yang berdaftar di MAMPU boleh diperolehi melalui laman web MAMPU di http://www.mampu.gov.my.

    2. Apakah tindakan agensi seterusnya selepas dokumentasi MS ISO 9000 telah siap untuk diaudit?

    Agensi boleh memohon untuk pengauditan bagi tujuan Persijilan dengan Badan Persijilan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan diakreditasikan oleh Jabatan Standard Malaysia. Kos pengauditan akan dibiayai oleh agensi sendiri.
    Senarai Badan Persijilan boleh diperolehi melalui laman web MAMPU di http://www.mampu.gov.my.
    Agensi yang telah mendapat Sijil MS ISO 9000:2000 hendaklah memaklumkan kepada MAMPU dengan menghantar satu salinan Sijil berkenaan kepada pihak MAMPU

    3. Bolehkah agensi Kerajaan yang telah mempunyai Sijil MS ISO 9000:1994 melaksanakan peralihan ke standard versi 2000 tanpa menggunakan khidmat Syarikat Perunding Swasta?

    Agensi Kerajaan yang telah mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan MS ISO 9000:1994 boleh beralih ke standard baru versi 2000 sekiranya pengurusan atasan dan pasukan pelaksana mempunyai komitmen yang tinggi untuk melaksanakannya. Pihak MAMPU boleh dihubungi untuk mendapatkan latihan pendedahan dan cara pelaksanaannya.

     


  • 1. Apakah itu keselamatan komputer?

    Amalan melindung sistem komputer dari kegagalan, ancaman, risiko dan kelemahan dari pelbagai sudut seperti kesalahan manusia atau operasi, serangan dan bencana alam yang boleh menyebabkan maklumat menjadi terdedah atau maklumat dipinda secara tidak sah, kemusnahan atau denial-of-service.

    2. Apakah keselamatan sistem komputer?

    Ini adalah merupakan langkah-langkah pelindungan keselamatan yang berasaskan teknologi termasuk prosedur pengurusan yang dibentuk untuk melindung aset ICT.

    3. Apakah keterdedahan maklumat?

    Maklumat yang di lindung atau dikawal edarannya didedahkan secara tidak sah atau hilang kawalan terhadap maklumat sensitif.

    4. Apakah penyulitan maklumat?

    Ianya penukaran data atau mesej kepada bentuk kod sulit yang hanya boleh dibaca atau difahami oleh penerima maklumat / mesej tersebut.

    5. Apakah itu nyah sulit maklumat?

    Pemulihan data yang telah dikodkan kepada bentuk asal.

    6. Apakah itu hacker?

    Seorang yang cuba memecah masuk ke dalam sistem komputer (sama ada berjaya atau gagal) yang ianya tidak diberi kuasa untuk mengakses sistem tersebut.

    7. Apakah insiden keselamatan ICT?

    Ini bermaksud musibah yang berlaku ke atas sistem ICT atau ancaman kemungkinan berlaku kejadian tersebut. Ia juga boleh merupakan sesuatu perbuatan yang melanggar dasar keselamatan ICT sama ada yang ditetapkan secara tersurat atau tersirat.

    8. Apakah itu Masquerade?

    Sejenis ancaman keselamatan yang berpunca bila seorang pengguna atau entiti menyamar sebagai seorang pengguna atau entiti yang sah.

    9. Apakah itu kata laluan?

    Serangkai perkataan atau ayat yang digunakan untuk mengesahkan pengguna atau sumber ICT.

    10. Apakah itu audit keselamatan ICT?

    Merupakan pemeriksaan ke atas prosedur serta langkah keselamatan ICT untuk menilai kepatuhan dan kesempurnaan terhadap dasar keselamatan ICT.

    11. Apakah itu kawalan keselamatan ICT?

    Merupakan teknik dan kaedah bagi memastikan hanya pengguna yang sah dan telah diberi kuasa dapat mengakses sistem maklumat dan aset ICT.

    12. Apakah itu maklumat sensitif?

    Ini adalah maklumat yang telah ditakrif sebagai perlu diberi pelindungan atau maklumat yang dikawal edarannya

    13. Apakah itu malicious code?

    Malicious Code adalah kod program yang dicipta khusus untuk mengakibatkan kerosakan, kemusnahan atau kesukaran kepada perjalanan lancar sistem ICT. Tafsiran malicious code termasuk virus, worm, trojan horse dan logic bomb.

    14. Apakah itu virus?

    Virus adalah perisian yang boleh memusnahkan kandungan cakra serta memadamkan fail dan program dalam memori. Ciri utama virus adalah ia boleh mewujudkan replika baru dan ?menjangkiti? program-program lain dengan menyangkutkan dirinya kepada program-program tersebut. Virus disebarkan melalui perkongsian program, e-mel, dokumen dan media yang ?tercemar?.

    15. Apakah itu Trojan Horse?

    Merupakan sebahagian daripada program komputer yang mempunyai fungsi yang biasanya boleh digunakan, tetapi kod Trojan Horse mempunyai fungsi yang tersorok. Apabila aktif, fungsi tersebut melakukan aktiviti terlarang. Trojan Horse biasanya disebarkan melalui lampiran kepada e-mel dan muat turun melalui internet.


  • 1. Apakah definasi Mystery Shopping?

    'Mystery Shopping' bagi maksud Sektor Awam adalah pelaksanaan aktiviti menggunakan pendekatan lawatan dan kunjungan rahsia secara menyamar sebagai pelanggan yang memerlukan perkhidmatan Kerajaan serta pemeriksaan mengejut berdasarkan Arahan Kerajaan, aduan orang awam dan permintaan Agensi. Aktiviti ini dijalankan oleh Pegawai Penilai yang dikenali sebagai 'Mystery Shopper'.

    2. Apakah tujuan dan objektif pelaksanaan Mystery Shopping?

    'Mystery Shopping' bertujuan untuk menilai dan memantau prestasi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Hasil pemantauan seterusnya akan dikongsi bersama Agensi terbabit bagi membantu dalam meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di masa akan datang.

    3. Apakah kaedah pelaksanaan Mystery Shopping?

    Selain daripada menggunakan kaedah kunjungan rahsia secara menyamar, 'Mystery Shopping' turut meliputi pemantauan perkhidmatan seperti panggilan telefon secara rawak ke Agensi-agensi Kerajaan serta menerusi pemantauan laman web.