orange green b
logo 1akses
mampu
bangunan mampu

Kerajaan telah memperkenalkan struktur pengiktirafan baharu bagi Sektor Awam yang merangkumi dua (2) peringkat pengiktirafan. Peringkat pertama ialah Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) yang merupakan anugerah terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf penghasilan inovasi yang signifikan dan berimpak tinggi kepada negara. Selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk membudayakan inovasi dalam kalangan agensi Sektor Awam, AIPM telah diperkenalkan mulai tahun 2010 bagi menggantikan Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM).

Kaedah Pemilihan Penerima AIPM

Pemilihan dan pencalonan bagi AIPM dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan yang diketuai oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan serta individu terkemuka daripada sektor swasta, akademia dan badan bukan Kerajaan. Peranan Jawatankuasa Pemilihan adalah untuk memastikan bahawa hanya calon yang paling layak sahaja disenarai pendek untuk penganugerahan AIPM.

Kriteria Penilaian

Kriteria penilaian AIPM merangkumi 4 aspek utama yang memberi penekanan kepada keberhasilan atau outcome dan impak sesuatu inovasi seperti berikut:

  1. Inovatif  -  memaparkan ciri-ciri inovatif yang tinggi seperti kaedah atau eksperimen pelaksanaan yang benar-benar leading edge, perubahan organisasi yang menyeluruh atau penggemblengan teknologi yang berkesan;

  2. Relevan - memaparkan perubahan yang selaras dengan agenda nasional seperti sumbangan kepada pembentukan ekonomi nilai tinggi, penjimatan kos yang ketara kepada operasi Kerajaan, penjanaan hasil Kerajaan yang ketara, kolaborasi unik dengan rakyat, usaha nation building yang berkesan dan sebagainya;

  3. Signifikan - memaparkan keberhasilan atau potensi keberhasilan yang signifikan dan impak tinggi sama ada di peringkat  tempatan, nasional mahu pun global; dan

  4. Keberkesanan - memaparkan faedah yang nyata dengan keberhasilan yang mampan serta meliputi tempoh masa yang jelas membuktikan keberkesanannya.

Kategori Penerima

AIPM boleh dianugerahkan kepada penerima yang terdiri daripada Agensi/ Organisasi, Pasukan Penjawat Awam atau Individu. Hanya satu penerima yang akan diberi penganugerahan AIPM. Setimpal dengan taraf AIPM sebagai anugerah terunggul dan berprestij Sektor Awam, penerima AIPM akan diberi ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta, trofi dan sijil.