orange green b
logo 1akses
mampu
bangunan mampu

Header Perutusan KP

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Saya ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana melayari laman web rasmi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Gelombang ledakan teknologi maklumat dan komunikasi kurun ke-21 telah mengubah persekitaran dan cara hidup manusia. Peralihan ini menyaksikan kemunculan fenomena megatrends, revolusi perindustrian ke-4 dan digital disruptions yang mencabar konvensi dan kebiasaan. Sebagai warga yang bertanggungjawab, semua perubahan ini tidaklah wajar ditanggap sebagai hambatan semata-mata, tetapi perlu didakap kemas dan dijadikan petunjuk kepada hala tuju pembangunan ekonomi negara.

Menurut Klaus Schwab, pengasas World Economic Forum, hierarki dalam organisasi tradisional akan menjadi halangan utama kepada organisasi itu untuk bergerak pantas dan mendapatkan kaedah baharu dalam bekerja di era digital. Oleh itu, mekanisme yang tekal seperti Business Process Reengineering (Perekayasaan Proses Kerja), Strategic Planning (Perancangan Strategik), Scenario Planning (Perancangan Senario) dan High-Impact Studies (Kajian Berimpak Tinggi) akan memandu sesebuah organisasi itu berubah dan menuju visi yang telah ditetapkan.

Kejayaan MAMPU yang terakam sejak empat dekad yang lalu bukanlah jaminan untuk ia kekal relevan dalam era yang serba mencabar ini. Sebagai agensi yang diberi tugas merealisasikan aspirasi Kerajaan, MAMPU komited untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan Kerajaan Digital di peringkat global. Pelan tindakan khusus telahpun digubal untuk mengangkat kedudukan negara dalam indeks UN e-GDI bagi Online Services Index (OSI) dengan menyasarkan ranking ke-15 pada tahun 2020. Kini, kira-kira 87.5% perkhidmatan kerajaan boleh dicapai secara dalam talian manakala pelbagai aplikasi yang dibangunkan di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan (GAMMA) telah dimuat turun oleh seramai lebih 1.1 juta pengguna.

Menurut Laporan UN E-Government Survey 2016, medium penyampaian perkhidmatan secara elektronik dan mudah alih telah menjadi semakin penting. Justeru, laman web ini adalah manifestasi kepada peranan MAMPU sebagai agensi penggerak dalam membangunkan inisiatif-inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi berasaskan kehendak rakyat. Ia juga sumber autoritatif untuk rakyat serta pelanggan mendapatkan maklumat terkini mengenai dasar, pekeliling, penerbitan, produk, perkhidmatan dan aktiviti MAMPU.

Sejajar dengan strategi MAMPU di bawah RMKe-11 untuk memperluas jangkauan perkhidmatan dengan peningkatan libat urus bersama rakyat melalui penggunaan perkhidmatan atas talian, laman maya ini juga menyediakan ruang kepada rakyat untuk menyampaikan cadangan, aduan, pertanyaan dan maklum balas secara langsung kepada MAMPU dalam mengenal pasti isu dan penyelesaian secara kreatif. Medan ini turut menyediakan pautan ke Portal Rasmi Kerajaan Malaysia (Portal MyGov), Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan (GAMMA), laman web agensi-agensi utama Kerajaan serta laman media sosial rasmi MAMPU.

Justeru itu, saya berharap laman web ini menjadi satu landasan terbaik mendapatkan maklumat serta memberikan cadangan penambahbaikan perkhidmatan kepada semua penjawat awam, warga MAMPU dan rakyat secara keseluruhannya, lantas seterusnya bersama-sama meneruskan untuk mencipta babak-babak gemilang perkhidmatan awam yang cemerlang.

Selamat melayari laman web MAMPU.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Dr. Mazlan Yusoff
Ketua Pengarah MAMPU