STRUKTUR BARU PENGIKTIRAFAN SEKTOR AWAM

Pencapaian prestasi cemerlang oleh agensi sektor awam diberi pengiktirafan melalui Program Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) yang telah diamalkan sehingga 2009. Program AKSA yang merangkumi Anugerah Kualiti Perdana Menteri serta anugerah-anugerah bagi tujuh (7) bidang pengurusan khusus telah digantikan dengan struktur pengiktirafan baru bagi sektor awam berdasarkan keputusan Mesyuarat Panel Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan (Panel 3P) Bilangan 4 Tahun 2010 pada 14 Julai 2010.  Tujuh (7) bidang pengurusan khusus yang digantikan dengan struktur pengiktirafan baru tersebut adalah :

i.     Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA)
ii.    Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM)
iii.   Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan (AKPK)
iv.   Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AKICT)
v.    Anugerah Kualiti Pihak Berkuasa Tempatan (AKPBT)
vi.   Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah (AKPDT)
vii.  Anugerah Kualiti Pengurusan Projek (AKPP)
 

Selaras dengan agenda transformasi negara yang berpaksikan inovasi dan kreativiti, struktur baru tersebut merangkumi dua peringkat pengiktirafan seperti berikut:

(i)    Peringkat pertama  - Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) sebagai anugerah terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf penghasilan inovasi yang signifikan dan berimpak tinggi; dan

(ii)    Peringkat kedua - Anugerah Inovasi bagi mengiktiraf penghasilan inovasi bagi empat (4) bidang pengurusan iaitu kategori Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pengurusan Kewangan, Pengurusan Pentadbiran Daerah dan Tanah, dan Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan. 
 

Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM)  

Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) diperkenalkan mulai 2010 sebagai anugerah sektor awam yang terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf penghasilan inovasi yang benar-benar signifikan dan berimpak tinggi. Pewujudan AIPM juga akan membolehkan Kerajaan memberi pengiktirafan kepada inovasi yang menyeluruh atau menyumbang kepada penghasilan ekonomi negara berpendapatan tinggi.

Kaedah Pemilihan Penerima AIPM

Penyertaan bagi AIPM adalah dibuat melalui proses pencalonan oleh satu Jawatankuasa Pemilihan (Search Committee)yang diketuai oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara dengan ahli-ahli yang terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan serta individu terkemuka daripada sektor swasta, akademia dan badan bukan Kerajaan. Peranan Jawatankuasa Pemilihan adalah untuk memastikan bahawa hanya calon yang paling layak sahaja disenarai pendek untuk penganugerahan AIPM. Dengan itu agensi Kerajaan tidak perlu membuat permohonan untuk menyertai AIPM.

Kriteria Penilaian

2.    Kriteria penilaian AIPM merangkumi 4 aspek utama yang memberi penekanan kepada keberhasilan atau outcome dan impak sesuatu inovasi seperti berikut:

(i)    Inovatif – memaparkan ciri-ciri inovatif tinggi seperti kaedah atau eksperimen pelaksanaan yang benar-benar leading edge, perubahan organisasi yang menyeluruh atau penggemblengan teknologi yang berkesan;

(ii)    Relevan – memaparkan perubahan yang selaras dengan aspek-aspek agenda nasional seperti sumbangan kepada pembentukan ekonomi nilai tinggi, penjimatan kos yang ketara kepada operasi Kerajaan, penjanaan hasil Kerajaan yang ketara, kolaborasi unik dengan rakyat, usaha nation building yang berkesan dan sebagainya;

(iii)    Signifikan – memaparkan keberhasilan atau potensi keberhasilan yang signifikan dan impak tinggi sama ada di peringkat tempatan, nasional mahu pun global; dan

(iv)    Keberkesanan – memaparkan faedah yang nyata dengan keberhasilan yang mampan serta meliputi tempoh masa yang jelas membuktikan keberkesanannya.   

Kategori Penerima

AIPM boleh dianugerahkan kepada penerima yang terdiri daripada kategori Agensi/Organisasi, Pasukan Penjawat Awam atau Individu. Hanya satu penerima yang akan diberi penganugerahan AIPM.  

Ganjaran Bagi Penerima AIPM

Setimpal dengan taraf AIPM sebagai anugerah terunggul dan berprestij sektor awam, penerima AIPM akan diberi ganjaran wang tunai sebanyak RM1 juta.

Anugerah Inovasi Bagi Empat (4) Bidang Pengurusan Khusus

Peringkat kedua struktur pengiktirafan sektor awam adalah bagi mengiktiraf inovasi dan pencapaian yang cemerlang dalam bidang-bidang pengurusan khusus. Ia bertujuan memotivasikan agensi-agensi sektor awam untuk terus menanda aras amalan baik dan melaksanakan inovasi dalam bidang dan proses kerja tertentu. Anugerah ini menekankan pengiktirafan bagi kejayaan yang ditunjukkan dalam bidang-bidang utama yang menyokong operasi agensi Kerajaan dan mempunyai kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Penganugerahan akan diberikan bagi prestasi cemerlang dan inovatif bagi empat (4) bidang khusus berikut:

(i)    Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah;

(ii)    Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan;

(iii)    Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT); dan

(iv)    Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan.

Proses dan kaedah pencarian serta pemilihan penyertaan bagi 4 bidang anugerah di atas akan diselenggarakan oleh agensi-agensi berikut:

(i)    Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) oleh Kementerian Kewangan;

(ii)    Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AICT) oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU);

(iii)    Anugerah Inovasi Pentadbiran Tanah dan Daerah (AIPDT) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU); dan

(iv)    Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ganjaran Bagi Penerima Anugerah Inovasi Bagi Empat (4) Bidang Pengurusan Khusus

Penerima anugerah bagi empat (4) bidang pengurusan khusus akan diberi ganjaran wang tunai sebanyak RM300,000.00 untuk setiap satu daripada empat kategori anugerah tersebut. Nilai ganjaran tersebut adalah sebagai galakan kepada agensi untuk terus berusaha menyediakan perkhidmatan secara inovatif, cekap dan berkesan. Hanya satu penerima ditetapkan bagi setiap kategori anugerah tersebut.

 

Kemaskini : 26 Januari 2011