Menyingkap tabir sejarah, MAMPU telah ditubuhkan hasil daripada Laporan ‘Development Administration in Malaysia’ oleh Prof. John D. Montgomery dan Milton J. Esman yang memperakukan peningkatan profesionalisme melalui program-program pendidikan dan latihan bagi semua lapisan kakitangan dalam Perkhidmatan Awam. Atas cadangan laporan yang sama, maka pada tahun 1966, Unit Pentadbiran Pembangunan (DAU) ditubuhkan bagi mengembangkan usaha-usaha pembaharuan pentadbiran Kerajaan.
DAU kemudiannya dikembangkan menjadi ICDAU yang berfungsi untuk menyelaras projek-projek pembangunan serta perancangan tenaga manusia.Selaras dengan perkembangan pentadbiran awam yang pesat lagi dinamik, ICDAU kemudiannya telah disusun semula pada tahun 1977.
Pada tahun 1986, fungsi perancangan tenaga manusia telah dipindahkan kepada beberapa agensi lain bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pemodenan tadbiran dan perundingan pengurusan Sektor Awam. Sejak itu, ICDAU dikenali sebagai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
