Tarikh : 17 – 19 Mei 2017
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Fakulti Teknologi Dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Kerjasama Industri : Google, Microsoft, Red Hat dan Cloudera
Kerjasama Agensi : Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan OSDeC, MAMPU
Peserta : 200 peserta terdiri dari pembangun perisian, CEO/ CIO, Syarikat ICT, Pengurus IT dan Pengamal ICT
Pautan : http://www.mosc.my
LATAR BELAKANG
Komuniti Sumber Terbuka Malaysia adalah sekumpulan sukarelawan yang berkerjasama dalam mempromosikan budaya sumber terbuka di Malaysia. Ahli-ahli Komuniti Sumber Terbuka Malaysia adalah terdiri daripada pengaturcara sistem (system programmers), pereka sistem (system designers), usahawan (entrepreneurs) dan pendidik (educators) yang berminat dengan teknologi sumber terbuka serta berminat untuk menganjurkan Persidangan Sumber Terbuka Malaysia (MOSC MY) ini.
Misi MOSC MY adalah untuk meningkatkan kepakaran dan pengetahuan sumber manusia dalam teknologi maklumat melalui penggunaan perisian sumber terbuka. Program MOSC MY membolehkan para peserta belajar dan berkongsi pengetahuan mengenai perisian sumber terbuka yang dapat banyak memberi manfaat kepada organisasi.
Open Source Development and Capability (OSDeC) Programme, MAMPU telah bekerjasama dalam penganjuran MOSC MY semenjak tahun 2016. OSDeC, MAMPU bersama-sama membantu memanjangkan jemputan kepada semua agensi sektor awam supaya lebih ramai pegawai sektor awam mengambil bahagian dalam program ini.
Persidangan Sumber Terbuka Malaysia/ Malaysia Open Source Conference (MOSC MY) 2017
MOSC MY 2017 telah diadakan dengan kerjasama Komuniti Sumber Terbuka Malaysia, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan OSDeC, MAMPU.
Tema persidangan ialah ‘Sumber Terbuka dalam Perkhidmatan Kewangan’. Tema ini dipilih adalah untuk memberi pendedahan mengenai teknologi terkini perisian sumber terbuka dalam perkhidmatan kewangan dan hubungannya dengan pelbagai organisasi termasuk sektor awam, sektor swasta, sektor akademik dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Topik-topik yang dibincangkan ialah sumber terbuka dalam keselamatan, bahasa pengaturcaraan web, kontena (container) dalam pusat data, pengkomputeran awan dan lain-lain.
OBJEKTIF
Objektif program adalah untuk:
- Mendedahkan teknologi terkini perisian sumber terbuka dalam perkhidmatan kewangan dan hubungannya dengan organisasi sektor awam, akademik, swasta dan NGO;
- Membolehkan budaya berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara agensi sektor awam, akademia serta sektor swasta di peringkat tempatan dan antarabangsa; dan
- Menyediakan peluang kolaborasi antara agensi sektor awam, akademia serta sektor swasta di peringkat tempatan dan antarabangsa.
IMPAK
Impak program ini adalah untuk:
- Meluaskan kolaboratif bersama komuniti antara agensi sektor awam, swasta, akademia dan industri;
- Meningkatkan pengetahuan dan pendedahan kepada senario dan trend teknologi sumber terbuka terkini; dan
- Merangsang pembangunan inovasi dengan mengambil kira pemanfaatan teknologi terkini yang digunakan oleh perisian sumber terbuka.