
Inisiatif Kerajaan Berpacukan Data adalah selaras dengan teras satu dalam Pelan Pendigitalan Sektor Awam (PPSA) 2021-2025 iaitu Pemanfaatan Kepintaran Data bagi mengurus data sebagai aset Kerajaan. Objektif teras ini adalah bagi memperkukuh pengurusan dan penyelarasan data melalui ‘Prinsip Sekali Sahaja’ di peringkat nasional dan sektor awam supaya rakyat tidak perlu memberikan maklumat yang sama berulang kali. Ia juga bertujuan untuk memanfaatkan data dari pelbagai sumber bagi membolehkan Kerajaan mendapat nilai, pemahaman mendalam dan bermakna (insights), serta membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Selain itu, teras ini menyokong inisiatif MyDIGITAL dari aspek penggubalan dasar perkhidmatan digital yang dipacu data, hasil daripada analitis data dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dalam meningkatkan keberkesanan penawaran perkhidmatan kepada rakyat.
Selari dengan objektif berkenaan, MAMPU telah membangunkan Rangka Tindakan Kerajaan Berpacukan Data untuk mewujudkan mekanisme dan tindakan pengurusan serta penyelarasan data dalam persekitaran Revolusi Industri 4.0 melibatkan pelbagai sumber data, data terbuka, data raya, Internet of Things, Machine Learning, Blockchain dan perkongsian data bagi memastikan kualiti data yang baik dan bernilai.
Sebagai agensi pusat yang berperanan sebagai pemacu Kerajaan Digital di dalam Sektor Awam, MAMPU telah mengadakan Seminar Berpacukan Data Sektor Awam (BDSA) pada 16 Ogos 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai salah satu usaha MAMPU untuk memaklumkan kepada Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai Rangka Tindakan Kerajaan Berpacukan Data. Seminar ini juga dilaksanakan untuk memberi pemahaman mengenai pewujudan ekosistem Kerajaan Berpacukan Data melalui pengurusan data sektor awam secara cekap dan holistik untuk meneraju Kerajaan Pintar berpacukan data. Antara pengisian seminar ini adalah sesi perkongsian ilmu, forum intelektual dan pameran inisiatif berpacukan data yang disertai oleh Kementerian/agensi yang terlibat.
Kertas pembentangan semasa sesi perkongsian ilmu boleh dicapai melalui pautan berikut:
Aturcara Seminar BDSA 2022 – https://drive.google.com/drive/folders/1a73YwXbu60IKtEDVfpl0tYmuwGAbjXbv
Slaid Pembentangan – https://drive.google.com/drive/folders/17SdvycIv8T8xkpbuhKzCrGUYZM__JhXK